Tuesday, 18 October 2016

Hutang Kerajaan RM800 Billion

video

Dah 2016 masih ada yang keliru antara hutang kerajaan dengan hutang luar negara.
Yang paling menakjubkan seseorang yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun pun boleh terkeliru antara dua hutang tersebut.
Sudahlah sendiri keliru, lepas tu mengelirukan orang lain pula.
Di dalam ceramah sempena ulangtahun yang pertama Parti Amanah Negara (PAN) beberapa malam yang lepas, Mahathir menyebut beberapa perkara tentang kewangan kerajaan seperti bajet 2017, kerajaan dah tiada duit, hospital tak ada ubat, sekolah tak ada peruntukan, cukai GST membebankan rakyat dan tidak menguntungkan kerajaan dan macam-macam tuduhan yang dikitar semula daripada pengikut-pengikut beliau seperti Syed Saddiq, Rais Hussin, Kadir Jasin dan lain-lain.
Semua tuduhan di atas telah pun dijawab di dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini: 
1. Kerajaan Zalim Potong Bajet Kesihatan Awam 
2. Asia's Best Debater's Logic (Bajet Pendidikan)

Tetapi yang menarik perhatian saya adalah apabila beliau dengan penuh yakin mengatakan bahawa mengikut suatu perkiraan oleh Bank Negara Malaysia, kerajaan berhutang sebanyak RM800 ribu juta (RM800 billion).
Mendengar perkataan hutang kerajaan dan angka RM800 billion keluar dari mulut Mahathir, tanpa perlu menyemak data hutang kerajaan saya sudah tahu Mahathir memberi fakta yang salah kepada penyokong-penyokong beliau.
Saya tidak tahu sama ada beliau tidak betul-betul tak tahu beza antara hutang kerajaan yang sebenarnya berjumlah RM655.74 billion dengan hutang luar yang berjumlah RM848.24 billion atau beliau memang sengaja memilih angka yang lebih besar untuk membangkitkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan.
Besar bezanya antara hutang kerajaan dan hutang luar negara dan untuk kebanyakan orang ramai mungkin mereka tak boleh membezakan antara keduanya tetapi untuk seseorang yang sudah berdekad-dekad menjadi anggota pentadbiran kerajaan, beliau sepatutnya lebih arif dan tahu daripada orang lain.
Secara ringkas hutang kerajaan adalah hutang yang diterbitkan oleh kerajaan dalam bentuk bon dan sukuk untuk membiayai perbelanjaan pembangunan kerajaan setiap tahun.
Hutang luar pula merangkumi hutang kerajaan yang dimiliki oleh pelabur luar Malaysia, hutang swasta kepada bank-bank di luar negara, deposit oleh orang luar negara di dalam Malaysia, nota-nota perdagangan oleh pihak luar dan macam macam lagi.
Jika pelabur dari luar negara melabur di dalam bon kerajaan, ia akan dikira sebagai hutang luar negara, jika ada syarikat-syarikat tempatan yang meminjam daripada bank-bank luar negara, ia akan dikira sebagai hutang luar negara, jika ada orang luar negara yang menyimpan/mendeposit wang di dalam bank-bank tempatan di dalam Malaysia, ia juga akan dikira sebagai sebahagian daripada hutang luar negara.
Sebelum 2014, hutang luar negara Malaysia berada dalam lingkungan RM230 billion hingga RM320 billion (2009–2013) tetapi pada 2014, hutang luar negara mencecah RM747.76 billion dan meningkat kepada RM833.81 billion pada tahun 2015.
Ramai juga yang melatah 2 tahun yang lepas apabila mendengar berita hutang luar negara meningkat dengan begitu mendadak pada tahun 2014.
Ini termasuklah juga Kadir Jasin yang membangkitkan soal hutang luar negara yang meningkat seperti mana ditulis di dalam blog beliau:
"They are best known for accumulating debt. Our external debt had increased to RM848.24 billion in the second quarter of 2016 from RM809.09 billion in the first quarter of 2016. This is mind boggling considering that external debt averaged only RM186.05 billion from 1990 to 2016, reaching an all time high of RM852.86 billion in the third quarter of 2015. External debt is reported by Bank Negara."
Kerana terlalu taksub untuk menghentam Najib dan kerajaan, golongan seperti Mahathir, Kadir Jasin dan lain-lain menggunakan kenaikan hutang luar negara sebagai modal politik tanpa menerangkan kepada rakyat bagaimana hutang luar negara boleh naik mendadak sebegitu rupa.
Hutang luar negara meningkat daripada RM324.03 billion pada 2013 kepada RM833.81 billion pada 2014 bukan kerana kerajaan menambah hutang sebanyak RM500 billion dalam tempoh setahun.
Angka hutang luar negara itu meningkat sebanyak RM500 billion kerana pada suku pertama 2014, Bank Negara telah mendefinisikan semula hutang luar negara mengikut piawaian yang ditetapkan IMF.
Sebelum pendefinisian semula hutang luar negara, hanya hutang-hutang di dalam matawang asing sahaja yang dikira sebagai hutang luar negara tetapi selepas Bank Negara mendefinisikan semula mengikut syor IMF, hutang di dalam Ringgit Malaysia yang dimiliki pelabur asing juga dikira sebagai hutang luar negara dan termasuklah deposit-deposit oleh orang asing yang menyimpan wang di dalam bank-bank di Malaysia.

Perkara ini telah pun dijelaskan oleh Bank Negara di dalam laporan suku tahunan pertama 2014 seperti berikut: 
The Redefinition of External Debt: BNM


The Redefinition of External Debt: BNM
Dengan jelas Bank Negara menerangkan komponen-komponen baru yang dikira di dalam pendefinisian semula hutang luar negara dan juga bagaimana di bawah definisi baru hutang luar negara menjadi RM700.1 billion berbanding RM327.9 billion mengikut definisi yang lama.
Kenaikan lebih dua kali ganda hutang luar negara bukanlah kerana pertambahan hutang dua kali ganda oleh kerajaan atau sektor swasta tetapi adalah kerana pendefinisian semula hutang luar negara mengikut syor IMF.
Daripada RM848.24 billion hutang luar negara, RM443.06 billion adalah hutang-hutang pihak swasta dan selebihnya adalah hutang kerajaan yang dimiliki pelabur luar.
Tindakan Mahathir dan pengikut-pengikut setianya menghentam Najib dengan menyebarkan fakta separuh masak seperti hutang luar negara ini hanyalah semata-mata untuk membangkitkan kemarahan rakyat.
Selaku bekas Perdana Menteri, Mahathir sudah pasti mempunyai akses kepada pegawai-pegawai di dalam Bank Negara dan boleh meminta mereka menjelaskan berkenaan kenaikan jumlah hutang luar negara yang mendadak dua tahun yang lepas.
Malang bagi rakyat Malaysia apabila ada bekas PM yang menyebarkan berita dan fakta palsu seperti ini dan lebih malang apabila ramai yang mempercayai beliau.
Saya akan terus menyemak fakta-fakta dan angka-angka yang dilontarkan Mahathir, pembangkang dan pengikut mereka supaya ramai yang sedar bahawa mereka adalah kumpulan yang tidak boleh dipercayai dan hanya pandai memanipulasi orang ramai.
Rujukan: 
Redefinition of External Debt: BNM Quarterly Bulletin

1 comment:

  1. Salam saudara Syahid,
    Sebelum pendefinisian baru mengikut IMF, apakah yang terkandung sebagai hutang kerajaan sebelum itu, dan berapa hutang kerajaan mengikut definisi lama i.e. 2013; jika mengikut definisi lama, berapa hutang kerajaan pada tahun 2014 & 2015?

    ReplyDelete