Monday, 5 December 2016

Tawaran Lapuk DAP Buat Rakyat Malaysia

Semalam berlangsungnya Konvensyen Nasional DAP di Shah Alam yang menarik perhatian ramai apabila bekas negarawan ulung Tun Mahathir hadir dan duduk sepentas dengan pimpinan DAP.

Tapi bukan itu yang saya nak komen atau ulas dengan lanjut kerana bagi saya sudah jelas Tun Mahathir sanggup lakukan apa sahaja termasuklah tidur sebantal dengan musuh sepanjang hidup beliau sebelum ini DAP asalkan beliau berjaya mencapai matlamat beliau untuk menjatuhkan Najib Razak dan mengangkat anak beliau Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri.

Apa yang menarik perhatian saya adalah ucapan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tentang "tawaran baru" DAP kepada rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah tawaran lapuk yang diulang-ulang setiap kali DAP berjanji kepada rakyat.

Berikut adalah petikan ucapan LGE semalam:

Ucapan LGE Semasa Konvensyen Nasional DAP: Roketkini

Saya rasa DAP sendiri keliru dengan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh mereka, sekejap 1MDB dengan RM42 billion, sekarang sudah jadi RM52 billion, derma dulu RM2.6 billion sekarang sudah jadi RM4.2 billion. 

Sama seperti Tun Mahathir yang keliru di antara hutang kerajaan berjumlah RM600 billion dan hutang luar negara berjumlah RM800 billion.

Hutang 1MDB kini bukan lagi RM42 billion apatah lagi angka rekaan DAP RM52 billion selepas penjualan aset kuasa Edra kepada China General Nuclear (CGN) pada awal tahun ini yang menyaksikan pengurangan hutang 1MDB melalui pengambialihan hutang Edra berjumlah lebih RM7 billion oleh CGN dan juga pembayaran segala hutang bank dan hutang jangka pendek 1MDB yang berjumlah kira-kira RM7 billion juga

Hutang 1MDB kini adalah lebih rendah daripada hutang asal RM42 billion dan sudah pasti lebih rendah daripada RM52 billion angka rekaan DAP dan Tun Mahathir.

DAP juga menyentuh soal kejatuhan Ringgit dan menyebut 1MDB sebagai penyumbang kepada kejatuhan Ringgit.

Malangnya DAP tidak sebut bagaimana Ringgit jatuh kerana kejatuhan harga minyak global, jangkaan bahawa Federal Reserve akan meningkatkan kadar faedah, keadaan pasaran kewangan dan ekonomi China yang tidak menentu yang merupakan faktor utama penyusutan Ringgit berbanding US Dollar.

Kalau pun DAP berjaya memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan (nauzubillah), DAP tidak akan mampu meningkatkan Ringgit selagi harga minyak terus rendah, Federal Reserve kekal dalam haluan pengetatan dasar monetari dan ekonomi serta pasaran kewangan China yang terus menerus tidak menentu.

Rakyat tidak harus tertipu kononnya Ringgit jatuh adalah disebabkan oleh UMNO, Najib dan 1MDB dan jangan percaya bahawa DAP mampu meningkatkan Ringgit kerana tiada siapa pun ada kuasa untuk melawan faktor luaran seperti harga minyak, dasar monetari Amerika Syarikat dan ekonomi serta pasaran kewangan China.

Untuk bacaan lebih lanjut tentang kenapa Ringgit jatuh jemput baca tulisan saya baru-baru ini yang menerangkan kenapa Ringgit jatuh dan kenapa kerajaan dan BNM tidak boleh meningkatkan Ringgit dalam keadaan sekarang.

Seterusnya DAP menyebut bahawa mereka akan menghapuskan GST sekiranya berjaya menjadi kerajaan.

Tawaran ini sudah pasti sangat menarik kepada rakyat yang tidak arif soal ekonomi dan kewangan kerajaan.

Berjanji memang mudah tapi menunaikannya belum tentu.

Sejak kejatuhan harga minyak yang bermula pada hujung 2014, hasil petroleum kerajaan menurun sejumlah RM20 billion tahun lepas:

Tahun ini hasil petroleum kerajaan terus jatuh kerana harga minyak global yang masih rendah secara relatif berbanding sebelum dua tahun lepas.

Pengurangan RM20 billion hasil kerajaan ini ditampung oleh GST yang dilaksanakan bermula 1 April 2015 

Tanpa GST, kerajaan akan kekurangan hasil berjumlah RM20 billion tahun lepas dan inilah yang DAP tidak sebut.

Apakah rancangan DAP untuk menampung kekurangan hasil kerajaan yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak?

Kalau DAP kata mereka akan menampung kekurangan hasil kerajaan melalui penjimatan daripada ketirisan, rasuah dan penyelewengan seperti melaksanakan tender terbuka dan sebagainya, saya sarankan DAP semaklah sendiri dahulu kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum berjanji kepada rakyat.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri Ke-2 2015 yang baru diterbitkan beberapa minggu lepas, ketua audit negara menegur kelemahan penyeliaan projek di bawah Penang Development Corporation (PDC) iaitu syarikat milik penuh kerajaan Pulau Pinang tentang penangguhan projek beberapa projek yang berjumlah lebih RM100  juta yang lambat siap.

Teguran Ketua Audit Negara Kepada PDC: Laporan Ketua Audit Negara

Ketua Audit Negara menambah bahawa kelemahan penyeliaan dan pemantauan projek di pihak PDC menyebabkan kemudahan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat tertangguh dan menyebabkan PENINGKATAN KOS.

Bagaimana DAP mahu menjimatkan kos melalui tender terbuka jika projek di peringkat negeri pun mereka gagal pantau sehingga lewat siap dan menyebabkan peningkatan kos?

Bukan sahaja kerajaan Pulau Pinang, kerajaan Selangor yang menggunakan slogan Smart Selangor juga gagal memantau projek di bawah seliaan mereka seperti yang ditegur di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015, Siri Ke-2 apabila Projek Jambatan Klang Ke-3 gagal disiapkan mengikut perancangan asal yang mengakibatkan peningkatan kos bernilai RM41.32 juta.


Teguran Ketua Audit Negara Kepada Kerajaan Negeri Selangor: Laporan Ketua Audit Negara

Inikah penjimatan yang dijanjikan DAP dan pakatan pembangkang sekiranya mereka mengambil alih tampuk pemerintahan negara suatu hari nanti?

Jika di peringkat negeri pun DAP dan pakatan pembangkang gagal kawal perbelanjaan, bagaimana mereka bercadang untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan persekutuan yang melebihi RM200 billion setiap tahun?

DAP juga menawarkan kepada rakyat Malaysia janji lapuk untuk menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan iaitu janji kitar semula sejak 2008.

Pemegang saham terbesar PLUS Malaysia Berhad adalah UEM (51%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (49%):

Struktur Korporat PLUS

UEM adalah syarikat pegangan 100% milik Khazanah Nasional dengan erti kata yang lain 100% milik kerajaan dan KWSP pula adalah badan pengurusan dana persaraan 14.55 juta pekerja-pekerja di Malaysia dengan saiz dana lebih RM600 billion.

Secara teknikal UEM yang 100% milik Khazanah dan Khazanah yang 100% milik kerajaan adalah 100% milik pembayar cukai.

Selepas PLUS dinyahsenarai daripada Bursa Saham Kuala Lumpur pada 2012 dan diambilalih oleh UEM dan KWSP, segala hasil dan keuntungan daripada operasi PLUS mengalir kepada pemegang saham mereka iaitu UEM dan KWSP.

Secara tidak langsung pembayar cukai dan pekerja-pekerja Malaysia menerima keuntungan daripada PLUS melalui dividen yang dibayar oleh Khazanah setiap tahun dan dividen tahunan yang diumumkan KWSP juga setiap tahun.

Selepas pengambilalihan PLUS Berhad oleh UEM dan KWSP pada 2012, PLUS menerbitkan sukuk (bon berlandaskan shariah) bernilai RM30.6 billion untuk membiayai pengambilalihan lima konsesi lebuhraya di bawah PLUS, membiayai modal kerja dan keperluan pembiayaan yang lain.

Sukuk yang diterbitkan PLUS ini mempunyai tempoh matang 5 ke 27 tahun bermaknanya sebahagian sukuk hanya akan matang seawal tahun 2039:

RM30.6 billion Sukuk Yang Diterbitkan PLUS: Bond Pricing Agency Malaysia

Jika DAP mahu kerajaan menghapuskan tol lebuhraya PLUS siapakah yang akan membayar keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk PLUS?

Adakah DAP atau kerajaan Pulau Pinang yang akan menanggung sukuk tersebut?

Dari sumber manakah PLUS boleh menjana hasil untuk membiayai sukuk RM30.6 yang diterbitkan sekiranya DAP mahu lebuhraya PLUS dipercumakan?

Pemegang-pemegang sukuk PLUS ini terdiri daripada pelabur-pelabur dalam dan luar negara, sekiranya lebuhraya PLUS tiba-tiba tidak mengutip tol, pasaran bon dalam Malaysia akan bergolak, harga bon-bon lain akan jatuh teruk, kadar faedah akan meningkat dan seterusnya menjangkiti pasaran kewangan lain seperti pasaran saham.

Apakah pelan kontingensi DAP, PKR dan lain-lain untuk membayar keuntungan sukuk yang dipegang oleh pelabur-pelabur ini?

Hanya bercakap kosong tanpa memaklumkan dan menerangkan kepada rakyat kesan penghapusan tol PLUS adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

PLUS tidak pernah menaikkan tol sejak 11 tahun yang lepas dan mereka dibayar pampasan serta mendapat lanjutan tempoh konsesi sehingga 2038 selepas mereka tidak dibenarkan menaikkan kadar tol oleh kerajaan.

Ironinya perjanjian konsesi lebuhraya PLUS ditandatangani oleh kerajaan semasa Tun Mahathir selaku Perdana Menteri yang dijulang-julang DAP sekarang.

Mengikut perjanjian asal konsesi lebuhraya utara selatan yang ditandatangani kerajaan di bawah Tun Mahathir, PLUS diberi kebenaran untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10% setiap 3 tahun.

Kerajaan dibawah pimpinan Najib Razak melakukan rundingan semula dengan pemilik PLUS iaitu UEM dan KWSP untuk menurunkan kadar kenaikan tol kepada 5% setiap 3 tahun:
Semakan Perjanjian Konsesi Tol Lebuhraya Utara Selatan: Berita Harian
DAP sudah tentu tidak akan menyalahkan Tun Mahathir kerana membenarkan PLUS menaikkan kadar tol sehingga 10% setiap 3 tahun.

Pasti juga DAP tidak akan memberi kredit kepada kerajaan sekarang yang berusaha menurunkan kadar kenaikan tol dan juga telah membekukan kenaikan tol lebuhraya utara selatan sejak 2005.

DAP juga tidak menyebut bagaimana kadar tol Jambatan Pulau Pinang untuk kereta tidak pernah naik sejak jambatan itu dibuka pada tahun 1985 dan ini bukannya kerana jasa DAP tetapi jasa kerajaan persekutuan.

Pokoknya DAP tidak mengemukakan pelan atau rancangan bagaimana mereka hendak membayar hutang yang diterbitkan melalui sukuk berjumlah RM30.6 billion sekiranya mereka akan menghapuskan tol lebuhraya utara selatan.

Sama juga janji DAP untuk menghapuskan GST yang nilai kutipannya tahun ni dijangka mencecah RM39 billion yang telah pun menampung kekurangan hasil kerajaan disebabkan kejatuhan harga minyak.

Dari sumber apa dan manakah DAP ingin menampung kekurangan hasil lebih RM20 billion hingga RM30 billion tersebut?

Tawaran baru ini tawaran lapuk dan kitar semula yang diulang-ulang DAP dan pakatan pembangkang setiap kali membuat janji kepada rakyat.

Sekiranya GST dimansuhkan dan tol lebuhraya utara selatan dihapuskan, hasil kerajaan akan berkurang dan perbelanjaan kerajaan akan meningkat.

Bagaimanakah DAP bercadang untuk menampung perbelanjaan tambahan dan kekurangan hasil yang disebabkan dasar populis mereka tersebut?

Adakah melalui penerbitan hutang baru kerajaan? 

Bukankah pembangkang selalu bising hutang kerajaan meningkat, negara dah nak muflis dan sebagainya?

Suka saya nak ulang sekali lagi, tiada apa yang percuma dalam dunia.

Pendidikan percuma, lebuhraya percuma segala-galanya percuma akhirnya akan terpaksa juga ditanggung oleh pembayar cukai melalui kutipan cukai yang lebih tinggi.

Sedangkan GST yang dikenakan pada kadar 6% pun pembangkang dan banyak orang mengamuk macam hilang akal, apatah lagi kalau dikenakan cukai lebih tinggi untuk membiayai pendidikan percuma, lebuhraya percuma dan macam-macam janji percuma pembangkang yang lain.

Sebelum menawarkan tawaran lapuk kepada rakyat, eloklah DAP cermin sendiri pengurusan kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Saya harap rakyat Malaysia tidak akan termakan janji manis seperti menghapuskan tol, menghapuskan GST, memberi itu ini percuma kerana di dalam dunia tiada apa yang percuma.

Desak DAP kemukakan perancangan bagaimana mereka akan membiayai semua janji-janji percuma mereka.

Saya yakin mereka akan gagal mengemukakan perancangan tersebut kerana apa yang mereka tahu hanya berjanji bulan dan bintang tanpa ada niat untuk mengotakannya.

3 comments:

  1. Dap akan guna formula Penang. Jual tanah. Tu aje yg DAP tau.

    ReplyDelete
  2. Betulntu DAP tak pernah mengemukakan cadangan baru sebalik nya mengulangi isu mudah percaya yg sering menghantui rakyat Malaysia yg kebanyakan nya gagal menganalisa isu isu berbangkit.

    ReplyDelete
  3. “Pendidikan percuma, lebuhraya percuma“. Nampak je mcm percuma. Tapi Kerajaan yang bayarkan. Antaran sumbernya ialah hasil dari pembayar cukai. Gitu?

    ReplyDelete