Thursday, 31 August 2017

ANALISA AMATUR RAFIZI TENTANG CUKAI PENDAPATAN

Semalam Rafizi mengeluarkan kenyataan bahawa kutipan cukai pendapatan di bawah kerajaan Najib sudah pun tinggi tetapi LHDN terus "menganiaya" rakyat dengan melakukan audit terperinci, mengejar tokoh-tokoh perniagaan yang rapat dengan pimpinan pembangkang dan mencukai orang yang sudah mati.

Seperti biasa tuduhan Rafizi terhadap LHDN tidak bersandarkan bukti yang kukuh kecuali melalui angka-angka yang digunakan tanpa konteks untuk mengaburi mata orang ramai.

Rafizi mengatakan bahawa sejak Najib menjadi Perdana Menteri (2009) sehingga 2017 kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) kutipan cukai pendapatan (11%) adalah melebihi kadar purata pertumbuhan ekonomi negara (5%) bagi tempoh yang sama.

Izinkan saya "membongkarkan" analisa separuh masak Rafizi yang bersifat amatur dan cetek supaya lebih banyak orang ramai tidak tertipu dengan beliau.

1. Kadar Pertumbuhan Kutipan Cukai Pendapatan Melebihi Kadar Pertumbuhan Ekonomi Negara

Jadual Daripada Blog Rafizi

Merujuk kepada jadual yang Rafizi lampirkan, sekali pandang sahaja saya tahu ianya angka yang tidak tepat. Rafizi menggunakan angka anggaran kutipan cukai pendapatan dan bukannya kutipan SEBENAR. Daripada dokumen yang sama iaitu Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan Perbendaharaan Negara sahaja kita boleh jumpa di mana silap Rafizi.

Contohnya kutipan sebenar cukai pendapatan pada tahun 2010 adalah RM74.5 billion bukannya RM60.3 billion sepertimana yang Rafizi tulis di dalam jadual beliau:

Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2012
Angka-angka kutipan sebenar cukai pendapatan yang Rafizi catatkan juga tidak tepat kerana beliau menggunakan angka anggaran. Untuk analisa yang lebih tepat sepatutnya kita gunakan kutipan sebenar bukannya anggaran. Sebagai bekas(?) akauntan yang bertauliah, Rafizi sepatutnya tahu membezakan di antara anggaran kutipan dan kutipan sebenar.

Di bawah adalah angka kutipan sebenar cukai pendapatan yang saya ambil daripada Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya saya semak semula dengan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kesahihan dan ketepatan angka tersebut.

Kutipan Sebenar Cukai Pendapatan

Disebabkan menggunakan angka yang tidak tepat, Rafizi gagal mengemukakan fakta bahawa kutipan cukai pendapatan kerajaan persekutuan menguncup sebanyak 12.6% pada tahun 2015 dan 1.5% pada tahun 2016:

Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2015
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2016

Mengikut kutipan sebenar cukai pendapatan daripada tahun 2010 sehingga 2016, kenaikan purata tahunan kutipan cukai pendapatan hanya 6.3% bukannya 11% seperti yang ditulis Rafizi. Ini adalah lebih rendah sedikit berbanding pertumbuhan purata tahunan KDNK negara sejak 2010 sehingga 2016 iaitu 7%:

KDNK Mengikut Harga Semasa


Purata pertumbuhan tahunan ekonomi negara mengikut harga malar (selepas inflasi) memang pada kadar 5% tetapi Rafizi sepatutnya menggunakan pertumbuhan KDNK pada harga semasa kerana kutipan cukai pendapatan adalah angka mengikut harga semasa dan bukannya mengikut harga malar yang sudah ditolak dengan kadar inflasi. Perbandingan yang lebih tepat adalah menggunakan angka pertumbuhan KDNK yang belum ditolak kadar inflasi.

2. Kenaikan gaji purata pekerja Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini, maka mustahil lebih ramai pekerja yang secara tiba-tiba menyumbang lebih banyak cukai kerana gaji mereka menjadi lebih besar

Kenaikan Gaji Sebenar (2016) dan Anggaran (2017) Serta Kadar Inflasi Asia Pasifik

Kenaikan purata gaji di Malaysia sememangnya lebih rendah daripada negara seperti Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Indonesia, China, Myanmar, Cambodia, Philippines dan Thailand kerana di antara negara-negara tersebut, Malaysia adalah negara yang paling membangun.


Pendapatan Kasar Per Kapita Negara Asia Terpilih - World Bank

Negara-negara di atas mempunyai pendapatan kasar per kapita yang lebih rendah daripada Malaysia yang bermaksud mereka adalah negara yang kurang membangun berbanding negara kita. 

Gaji di negara mereka adalah lebih rendah berbanding Malaysia, sebarang kenaikan gaji akan melonjakkan peratusan kenaikan gaji di negara tersebut.

Ini juga sebab kenapa negara maju seperti South Korea, Hong Kong, Singapore, Taiwan, Australia, New Zealand dan Jepun mencatatkan kadar pertumbuhan gaji yang lebih rendah berbanding Malaysia. Kerana gaji di negara tersebut sudah pun tinggi dan sebarang kenaikan hanya akan memberi kesan yang kecil kepada peratus kenaikan gaji pekerja.

Walaubagaimanapun, yang paling penting bukanlah perbandingan kenaikan gaji dengan negara lain tetapi kenaikan gaji berbanding kadar inflasi.

Sejak 2010 sehingga 2016, kecuali pada tahun 2011, kadar kenaikan gaji pekerja di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding kadar inflasi. 

Purata Gaji Pekerja, % Kenaikan Gaji dan Kadar Inflasi

Kenaikan gaji tahunan ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan kutipan cukai pendapatan individu setiap tahun.

3. Pentadbiran Dato’ Seri Najib sebenarnya menurunkan cukai pendapatan ke atas syarikat dan individu apabila GST diperkenalkan, maka sepatutnya kutipan cukai pendapatan tidaklah meningkat sedemikian rupa kalau pun tidak lebih rendah


Seiring dengan pelaksanaan GST yang diumumkan, kerajaan memotong kadar cukai pendapatan individu sebanyak 1 hingga 3% di mana golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Dianggarkan hampir 300,000 orang yang pada masa itu membayar cukai pendapatan, tidak lagi perlu membayar cukai selepas pemotongan kadar cukai pendapatan tersebut.

Dalam masa yang sama kerajaan juga menjadikan cukai pendapatan individu lebih progresif dengan meningkatkan pendapatan bercukai pada kadar maksimum daripada RM100,000 kepada RM400,000. Kadar cukai pendapatan maksima juga dinaikkan daripada 26% kepada 28% di mana mereka yang berpendapatan RM1 juta ke atas akan dikenakan kadar cukai 28% ke atas pendapatan boleh cukai mereka.

Ucapan Bajet 2015

Selain daripada cukai pendapatan individu, cukai pendapatan syarikat, perusahaan kecil dan sederhana dan koperasi juga dipotong oleh kerajaan.

Ucapan Bajet 2015

Daripada kategori cukai pendapatan yang utama, hanya cukai pendapatan individu sahaja yang mencatatkan kenaikan. Manakala cukai pendapatan syarikat dan petroleum menurun disebabkan kejatuhan harga minyak mentah sejak hujung 2014.


Kutipan Cukai Pendapatan

Kenaikan kutipan cukai pendapatan individu adalah antaranya disebabkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan pematuhan cukai yang lebih baik kesan daripada penguatkuasaan dan pengauditan yang lebih cekap oleh LHDN.

Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2017

Rafizi menyatakan bahawa  LHDN memburu rakyat biasa dari golongan artis, profesional, kakitangan kerajaan sehingga ke orang mati. Adakah ini bermakna Rafizi menggalakkan mereka yang layak membayar cukai lari daripada membayar cukai? Selama ini Rafizi menggambarkan diri beliau sebagai pejuang golongan berpendapatan rendah, tiba-tiba hari ini beliau menjadi pejuang golongan yang mampu membayar cukai pendapatan supaya tidak membayar cukai.

Rafizi membandingkan kenaikan kutipan cukai pendapatan di Australia dengan Malaysia dan membuat rumusan bahawa purata kenaikan kutipan cukai pendapatan di Australia adalah 5.3%. Yang menghairankan kali ini Rafizi tidak lagi membandingkan kadar kenaikan kutipan cukai pendapatan dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara Australia.

Kadar Pertumbuhan Ekonomi Australia: World Bank

Untuk pengetahuan Rafizi purata kadar pertumbuhan ekonomi Australia sepanjang 2010 sehingga 2016 hanyalah 2.5%. Ini bermaksud kadar kenaikan kutipan cukai pendapatan di sana lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan ekonomi. Adakah ini bermakna Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull mencukai rakyat Australia lebih banyak setiap tahun untuk menampung perbelanjaan kerajaan yang meningkat?

Begitulah analisa separuh masak Rafizi yang penuh dengan kesalahan fakta dan angka yang membuktikan kefahaman beliau yang cetek tentang selok belok kewangan kerajaan dan ekonomi negara.

Rafizi juga memfitnah agensi kerajaan, LHDN yang kononnya mensasarkan ahli perniagaan yang dilihat rapat dengan pembangkang untuk meningkatkan kutipan cukai pendapatan tetapi beliau gagal mengemukakan bukti selain daripada mengguna angka daripada dokumen-dokumen kerajaan sendiri.

Modus operandi Rafizi sudah banyak kali dibongkarkan. Beliau akan memanipulasi angka-angka berbillion Ringgit untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka yang tidak membaca dengan lebih mendalam sudah pasti akan percaya dengan analisa beliau.

Saya hairan dengan pembangkang di Malaysia. Mereka ingin menghapuskan GST yang membawa hasil RM41 billion kepada kerajaan dan dalam masa yang sama mereka menggalakkan individu yang layak membayar cukai pendapatan untuk mengelak daripada membayar cukai. 

Bila hasil kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang meningkat berkali ganda mereka katakan ini disebabkan kecekapan pengurusan kerajaan Pakatan Harapan sedangkan peningkatan hasil di negeri adalah disebabkan kenaikan kutipan hasil premium tanah yang dikenakan kepada rakyat biasa dan syarikat seperti pemaju. Bila hasil kutipan cukai pendapatan kerajaan persekutuan meningkat mereka kata ini kerana untuk menampung perbelanjaan kerajaan persekutuan yang meningkat sedangkan perbelanjaan kerajaan negeri mereka juga meningkat malah berkali ganda lebih banyak daripada kerajaan persekutuan.

Mereka mahu memperkenalkan cukai keuntungan modal (CGT), cukai warisan harta dan pelbagai cukai lain untuk menggantikan GST, tetapi dalam masa yang sama mereka mahu LHDN tidak tegas kepada mereka yang mengelak daripada membayar cukai. Patutkah rakyat memperjudikan masa depan mereka dan negara dengan pembangkang yang keliru dengan dasar mereka sendiri? 

1 comment: