Monday, 6 November 2017

SKIM PENCEN KERAJAAN

Baru-baru ini kecoh bila ada ura-ura mengatakan bahawa skim pencen kerajaan akan dimansuhkan. Ini berpunca daripada salah faham orang ramai yang menyalah anggap cadangan Menteri Kewangan Ke-II (MKII), Johari Ghani untuk mengkaji semula dasar pencen dengan memperkenalkan skim KWSP kepada penjawat awam yang baru di masa akan datang. MKII juga sudah menafikan beliau bermaksud mahu memansuhkan skim pencen kerajaan sedia ada .

Tetapi ada pula yang kata opsyen KWSP memang sudah ada sekian lama cuma Menteri yang tidak tahu. Kakitangan awam memang sudah diberikan opsyen untuk memilih skim KWSP dan mereka memang mencarum di dalam KWSP sebelum disahkan jawatan mereka di bawah Subseksyen 6A(1) Akta Pencen 1980.

Selepas disahkan jawatan dan sekurang-kurangnya sudah berkhidmat 3 tahun, kakitangan awam juga berhak memilih opsyen pencen dan diberi Pemberian Taraf Berpencen dengan memulangkan borang opsyen bagi Skim KWSP menurut Jadual Kelima. Jika mereka memilih opsyen pencen wang caruman kerajaan (majikan) kepada KWSP akan dipulangkan semula kepada kerajaan dan wang caruman pekerja boleh dikeluarkan oleh kakitangan awam tersebut. Jika mereka memilih skim KWSP, caruman akan diteruskan seperti biasa setiap bulan.

Saya yakin MKII sedar bahawa opsyen KWSP memang sudah ada untuk kakitangan awam pilih. Yang saya nampak banyak yang tidak dapat tangkap apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh MKII. Sebab itu banyak yang melatah menuduh kerajaan tidak ada wang hendak bayar pencen, kerajaan sudah bankrap dan sebagainya.

Ini beza di antara pembuat dasar yang sebenar dan "pembuat dasar" dalam Facebook.

Sebagai MKII yang bertanggungjawab menguruskan kewangan kerajaan, beliau bukan hanya perlu memikirkan dasar-dasar jangka pendek sahaja seperti apa yang perlu ada di dalam bajet tahun depan. Beliau perlu memikirkan apa yang akan berlaku, kesan jangka panjang dan kelestarian kewangan kerajaan jika dasar pemberian pencen kerajaan terus diberikan kepada kakitangan awam dalam masa sepuluh, dua puluh dan tiga puluh tahun yang akan datang.

Skim pencen adalah "defined benefit" iaitu skim di mana majikan menjanjikan akan membayar wang kepada pekerja selepas mereka bersara manakala skim KWSP adalah "defined contribution" iaitu skim berdasarkan sumbangan atau caruman yang dibuat pekerja melalui potongan gaji dan juga sumbangan oleh majikan dalam konteks ini kerajaan.

Setiap tahun jumlah perbelanjaan pencen yang dibelanjakan kerajaan meningkat. Pada tahun 1970 perbelanjaan pencen hanya sekitar RM101 juta dan meningkat setiap tahun kepada RM516 juta (1980), RM1.2 billion (1990), RM4.2 billion (2000), RM11.5 billion dan dijangka mencecah RM24 billion tahun depan (2018). Nisbah perbelanjaan pencen dan ganjaran kepada perbelanjaan mengurus juga semakin meningkat dan kini sudah melebihi 10%. Ini bermaksud 10% daripada perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan diperuntukkan untuk membayar pencen dan ganjaran kepada pesara kerajaan.


Setiap tahun semakin banyak penjawat awam yang akan mencapai umur persaraan (60 tahun). Dengan kemajuan taraf hidup dan sosioekonomi Malaysia yang semakin meningkat, jangkaan hayat rakyat Malaysia juga meningkat atau dalam bahasa mudahnya makin lama orang Malaysia hidup. Jabatan Perangkaan Negara mengunjurkan jangkaan hayat penduduk Malaysia akan terus meningkat daripada 71.9 tahun (lelaki) dan 76.6 tahun (perempuan) pada 2010 kepada 78.0 tahun (lelaki) dan 83.0 tahun (perempuan) pada 2040.



Semakin lama, semakin banyak juga peratusan penduduk kumpulan umur tua iaitu 65 tahun dan ke atas. Pada tahun 2010, kumpulan umur ini hanya mewakili 5% daripada keseluruhan penduduk Malaysia dan pada 2040, Jabatan Perangkaan menjangkakan kumpulan umur ini akan meningkat kepada 14.5%.


Semakin tinggi jangkaan hayat penduduk Malaysia, semakin tinggi kumpulan umur tua di Malaysia, semakin tinggilah perbelanjaan pencen yang perlu ditanggung kerajaan. "Ageing population" adalah isu atau trend besar yang perlu kita hadapi di masa akan datang. Sama seperti apa yang dihadapi oleh negara Jepun dan negara maju yang lain.

Inilah yang cuba dimaksudkan oleh MKII baru-baru ini.

Ia bukannya soal kerajaan tidak ada wang, tidak mampu membayar pencen atau menuju ke arah kebankrapan. Tetapi ianya soal pilihan dasar-dasar yang akan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan dan kepada rakyat di masa akan datang. Sebab itu MKII membangkitkan idea untuk berubah daripada skim "defined benefit" kepada "defined contribution" sebagai pilihan atau opsyen dasar di masa hadapan.

Tidak ada masalah untuk kerajaan mengekalkan skim pencen sedia ada, tetapi implikasinya adalah perbelanjaan pencen akan terus meningkat dan nisbah kepada perbelanjaan mengurus juga akan meningkat. Pilihan dasar ini akan memerlukan kerajaan meraih hasil yang lebih tinggi melalui kutipan cukai yang lebih tinggi di masa akan datang. Antaranya adalah kadar cukai seperti GST mungkin dinaikkan untuk menampung kos pencen pesara kerajaan. Kerajaan tidak akan meminjam atau menerbitkan bon untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Ini tugas dan tanggungjawab pembuat dasar (policymaker), memikirkan untuk jangka masa panjang dan bukannya jangka pendek sahaja seperti rakyat yang hanya memikirkan apa yang kita akan dapat dalam setiap bajet.

Sebab itu kerajaan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Supaya rakyat sama-sama berfikir cabaran dan solusi bagaimana kita hendak bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara. Hendak jadi negara maju, mentaliti kita juga perlu maju.

Rujukan:


No comments:

Post a Comment